Minggu lalu berlangsung perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil untuk kali ketiga, dikenali sebagai BERSIH 3.0. Seperti perhimpunan pertama dan kedua, ia ditandai dengan sejumlah insiden yang cukup menyedihkan dalam proses demokrasi di Malaysia.
Kita dapat lihat melalui banyak rakaman dan laporan semasa perhimpunan ini yang menunjukkan bagaimana terjadinya keganasan serta halangan kepada media. Ini adalah musuh kebebasan.
Oleh kerana berada di luar negara, saya tidak menyertai perhimpunan ini. Justeru, saya mengikuti berita serta perdebatan awam mengenainya di ruang maya, khususnya Facebook. Terlihat banyak isu asas yang perlu dijelaskan kepada orang ramai.
Hak kebebasan berhimpun
Sebenarnya hak kebebasan berhimpun sedia termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Malaysia. Ia juga disebut dalam Artikel 20(1) Deklarasi Sejagat tentang Hak Asasi Manusia 1948 serta Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966.
Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.
Secara asasnya haruslah difahami di sini bahawa dalam mana-mana aspek perundangan akan sentiasa ada apa yang disebut pengecualian. Ini penting kerana manusia itu bersifat dinamik.
Justeru, secara umumnya satu ketetapan diperlukan di samping pengecualian yang boleh diambil atas faktor keadaan. Sebagai contoh, secara umumnya semua orang bebas bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti.
Namun, Parlimen boleh membuat satu keputusan untuk tidak membenarkan sesiapa bekerja atau melakukan aktiviti lain dengan mengisytiharkan darurat atas faktor tertentu bersabit keselamatan negara misalnya ada ancaman serangan bersenjata oleh pihak tertentu.
Oleh yang demikian, peruntukan perlembagaan dalam hal ini perlu dibaca dengan jelas bahawa ketetapan umumnya ialah jaminan kebebasan sementara sekatan ke atasnya adalah berdasarkan situasi – yang dinyatakan sebagai kepentingan keselamatan Persekutuan.
Polis dan peranannya
Seksyen 27 Akta Polis 1967 juga digunakan untuk menjustifikasikan tindakan polis semasa perhimpunan berlaku. Akta ini mensyaratkan kelulusan pegawai polis daerah berkenaan jika perhimpunan mahu dibuat dan kelulusan adalah atas budi bicara pihak polis.
Ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah berkata Seksyen 27 Akta Polis 1967 ini tidak wajar dipakai kerana ia boleh mengelirukan undang-undang itu sendiri.
Meskipun beliau tidak menjelaskan bagaimana ia boleh mengelirukan, saya fikir ini boleh dilihat dalam konteks bagaimana polis mempunyai lebihan kuasa berbanding Parlimen dalam isu kebebasan asasi dan pengecualiannya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam Laporan Tahunan bagi tahun 2010 telah mencadangkan sejumlah pemansuhan sub-seksyen dalam Akta Polis tersebut dan mengesyorkan polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan dalam menangani perhimpunan aman.
Dalam laporan yang sama SUHAKAM turut menegaskan hak berhimpun secara aman dan menekankan bahawa polis tidak patut bertindak secara syak wasangka, spekulasi, takut atau imaginasi. Perlu ada bukti jelas bahawa ketidakteraman awam dan kecenderungan ke arah keganasan berlaku.
Dalam kata lain bersabit dua perkara di atas, meskipun kerajaan mempunyai tugas memastikan keamanan dan keselamatan, kebebasan berhimpun tidak harus disekat secara arbitrari (ditentukan sewenang-wenangnya tanpa satu piawaian dan sebab yang munasabah, misalnya berlaku tindakan luar kawal yang memaksa sesuatu tindakan diambil).
Alternatif penyelesaian
Saya juga tidak mahu meremehkan hujah kemungkinan huru-hara berlaku dan satu situasi tidak aman yang boleh menjejaskan perniagaan.
Justeru, bagaimana perhimpunan ini boleh diteruskan dan persoalan ini dapat diselesaikan?
Saya fikir beberapa langkah boleh diambil iaitu:
(1) Pihak penganjur hanya perlu memaklumkan dan bertemu dengan pihak polis untuk berbincang tentang isu kawalan keselamatan untuk mencapai kedua-dua objektif – hak berhimpun dan memastikan keamanan. Kedua-dua pihak harus memberikan kerjasama untuk membolehkan ia berjalan dengan lancar.
(2) Satu keputusan boleh diambil misalnya perhimpunan boleh dibuat di Dataran Merdeka pada satu tempoh masa sehingga empat jam termasuk pergerakan secara tertib untuk ke lokasi dan beredar daripadanya.
(3) Tidak ada alasan menghalang penggunaan Dataran Merdeka sebagai lokasi berhimpun. Semasa Bersih 2.0, penggunaan Stadium Merdeka dihalang tetapi ia ditawarkan untuk BERSIH 3.0. Ini menunjukkan sikap tidak jelas kerajaan.
(4) Tidak sepatutnya ada kekangan daripada pihak polis untuk menghalang pergerakan masuk dan keluar Dataran Merdeka. Polis hanya perlu mengawasi jika ada limpahan peserta ke jalan raya. Jika ada, pihak polis boleh menutup jalan tersebut sebagaimana dilakukan untuk program-program hiburan dan sambutan yang lain.
(5) Pihak polis tidak perlu mengadakan sekatan trafik sejauh misalnya sekitar Perhentian Serdang untuk melambatkan pergerakan trafik.
Saya percaya dengan makluman laluan perhimpunan pada tempoh tertentu; orang ramai boleh membuat perancangan sendiri tentang kegiatan mereka, sama ada bersifat perniagaan atau tidak.
(6) Tangkapan dan tindakan kasar polis kepada mereka yang dianggap menyokong perhimpunan BERSIH 3.0 adalah cukup memalukan.
Ada rakaman menunjukkan ia berlaku selepas perhimpunan telah bersurai, termasuk di kedai makan. Malah banyak kekasaran pihak polis dibuat dalam situasi peserta perhimpunan tidak melawan atau menunjukkan sebarang tindakan ganas.
(7) Jika ada kekacauan timbul, pihak polis boleh menangkap individu atau kumpulan individu yang terbabit sahaja. Ini boleh dilakukan dengan bantuan peserta perhimpunan melalui rundingan awal tadi supaya disiplin perhimpunan dapat diwar-warkan.
Selepas proses awal itu dibuat dan masih terdapat peserta yang tidak berdisiplin, jelaslah bahawa individu terbabit mungkin hadir untuk membuat sabotaj.
Sepanjang pengalaman menyertai perhimpunan, saya berani katakan bahawa peserta perhimpunan cukup berdisiplin selagi tidak ada gangguan tidak munasabah seperti pancutan air kimia atau gas pemedih mata.
Saya sangat percaya bahawa secara umumnya rakyat Malaysia sangat cintakan keamanan. Namun, itu tidak bermakna keamanan mewajarkan rasuah dan salah guna kuasa dibiarkan.
Ketidaktenteraman awam juga boleh berlaku apabila rasuah dan salah guna kuasa berlaku tetapi didiamkan, malah suara yang menentang kebobrokan ini ditindas.
Banyak negara boleh terus maju dengan jaminan hak asasi rakyat untuk berhimpun dan juga bersuara terus dipelihara. Ada juga negara yang berdepan dengan tuntutan asasi untuk berhimpun dan juga bersuara kerana mereka kemunduran dan ketidaktentuan ekonomi dan politik di sana berlaku akibat rasuah dan salah guna kuasa.
Sebagaimana ungkapan Karl Popper: “Kita mesti merancang untuk kebebasan, bukan hanya untuk keselamatan, kerana hanya dengan kebebasan maka keselamatan menjadi lebih terjamin.”
AMIN AHMAD, 30, Felo Penyelidik di IDEAS.
website: IDEAS
Institute for Democracy_and Economic Affairs
No comments:
Post a Comment