Bayi baru lahir disorok dalam tangki pam tandas Remaja campak bayi baru dilahir dari flat Bayi baru lahir ditemui mati dengan kesan kelar Mayat bayi lelaki ditemui dalam sungai Bayi perempuan ditinggal depan rumah penduduk Bayi baru lahir dibuang dalam longkang Dua sahabat terkejut jumpa mayat bayi terapung Bayi baru lahir dibuang depan hospital swasta Bayi baru lahir dibuang dalam semak Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur Bayi maut dicampak dari kenderaan bergerak Bayi lelaki ditinggalkan di bawah jambatan Bayi ditemui tersangkut di tiang papan tanda Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas Pasangan remaja mengaku salah tanam bayi Bayi lelaki ditemui rentung dalam tong sampahDemikian antara tajuk-tajuk berita yang menghiasi laman media negara kita . Itu pun hanya sebahagian kecil daripadanya. Apa perkataan yang berlegar-legar dalam fikiran kita sekarang? Kejam? Zalim? Ngeri? Geram? Sedih? Sakit hati? Tak tahu nak kata apa? Ya, kesemuanya. Jenayah terhadap bayi yang baru dilahirkan ini bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Ia telah lama berlaku. Kita tidak tahu berapa banyak nyawa telah melayang sehingga kini... nyawa yang dikorbankan tanpa hak, bahkan sewenang-wenangnya. Yang kita dapat jangka ia bukan jumlah yang kecil, bukan puluhan nyawa. Ia mungkin melibatkan beribu-ribu malahan berpuluh-puluh ribu nyawa bayi yang tidak berdosa yang telah diperlakukan dengan begitu kejam sekali! Ia bukan berlaku di bumi asing yang jauh. Ia berlaku di bumi kita sendiri, di negara Malaysia yang kita kata aman dan damai ini. Paling merenggut jantung, kebanyakan kes pembuangan bayi sama ada berniat membunuh atau tidak, terjadi dalam kalangan orang Melayu sendiri, orang yang beragama Islam. Bayi-bayi yang dibunuh itu memang tidak berdosa. Mereka secara automatik akan masuk ke syurga. Jadi, walaupun hati kita luluh melihat keadaan jasadnya yang sehingga dihurung semut, digigit anjing, kepala pecah terhempas ke jalan, perut terburai ditusuk pisau atau cuba dipam di mangkuk tandas (oh, kejinya orang yang tergamak melakukan yang demikian), hati kita setakat meraung kasihan. Tapi kita lebih kasihan kepada si ‘ibu’ dan si ‘bapa’ yang menjadi punca kebobrokan seumpama itu. Betapa malangnya kamu kerana mudah termakan hasutan syaitan. Betapa sukarnya kamu menghadapi saat-saat pengadilan di mahkamah akhirat nanti sedang bayi-bayi yang kamu zalimi itu bagkit menjadi saksi atas perbuatan kamu. Aduh, sebenarnya itu pun belum cukup kasihan. Yang paling harus dikasihani adalah diri kita sendiri, masyarakat yang lahir di tengah-tengahnya kerosakan. Kerosakan ini sebahagian besarnya dilakukan oleh pemuda dan pemudi, remaja belasan tahun lelaki dan perempuan. Tapi jangan lupa, jumlah yang melibatkan orang dewasa dan warga emas juga besar. Bukankah semua ini malapetaka buat negara? Seorang ustaz yang ketika melangkah untuk melanjutkan pengajian di Timur Tengah diingatkan, “Di negara orang nanti berhati-hati, jangan terkena kejutan budaya!” Alhamdulillah, sepanjang 11 tahun di rantau orang, yang apabila musim cuti ada kalanya beliau melancong ke benua Eropah, ustaz ini kebal kerana tidak terkena renjatan budaya. Rupa-rupanya kali pertama beliau dilanda kejutan budaya ialah ketika pulang ke tanah air sendiri. Kejutan itu pula sungguh menakutkan. Antara berita awal yang beliau tonton di kaca televisyen ialah berita seorang bayi yang baru dilahirkan dibungkus dalam plastik sampah hitam lalu dicampakkan dari tingkat atas sebuah rumah pangsa! “Wallahi, saya tidak pernah mendengar kejadian seumpama itu di mana-mana penjuru alam yang saya pernah bertamu. Tetapi ia berlaku di tanah air sendiri,” bicara ustaz dalam nada kesal bercampur hairan. Dari mana bermulanya kezaliman jahiliah ini? Yang pasti ia adalah manifestasi lemahnya akidah umat. Bagaimana tidak lemah kalau pendidikan kita sejak kecil bukan ke arah menguatkan akidah? Bagaimana akan kebal iman kalau setiap hari jiwa raga digoda dengan dunia, hiburan dan keasyikan? Kalau yang punya asas agama pun boleh kecundang, bagaimana pula dengan yang lain? Menjadi semakin sukar apabila pada zaman langit terbuka ini pintu zina juga kembali terbuka seluas-luasnya. Begitu banyak jalan pergaulan halal yang tersedia, yang haram juga menjadi pilihan. Bermula dengan perkenalan secara maya di internet, chatting, bertukar-tukar foto, bertemu, bermesra dan di hujungnya berakhir dengan zina. Meskipun berakhir dengan zina, ia bukanlah titik akhirnya. Perzinaan itu sebenarnya adalah satu permulaan. Ia adalah permulaan kepada siri pembunuhan kejam! Laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008. Ia bermakna secara purata, 2,495 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan, 83 kes setiap hari atau satu kes pada setiap 17 minit 35 saat! Pelaporan dalam media juga memainkan peranan. Akhbar-akhbar yang gemar mensensasikan berita-berita zina ini dengan laporan terperinci serta gambar-gambar yang merangsangkan, sebenarnya bukan mendidik tetapi menambahkan lagi masalah. Daripada sesuatu yang dianggap ‘taboo’ satu masa dulu, hari ini zina dianggap perkara biasa hatta oleh ibu bapa yang anaknya didapati terbabit berzina. Trend media memperincikan jenayah zina adalah sesuatu yang mesti dimuhasabah kembali kerana di situlah maklumat diperoleh dengan mudah. Ia dibaca oleh semua golongan termasuk kanak-kanak tadika. Akhirnya ia menjadi budaya baru yang ‘diterima’ dalam masyarakat seperti yang berlaku hari ini. Secara umumnya, semua agama tidak membenarkan perzinaan, tetapi peraturan itu sedikit demi sedikit diingkari. Hari ini, Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang diredhai Allah juga mula dilupakan penganutnya. Malang sekali majoriti individu yang terlibat berzina dan membuang bayi itu tecatat dalam kad pengenalan mereka sebagai beragama Islam. Adakah ini bermakna Hari Kiamat semakin hampir, bahkan sudah terlalu dekat dengan kita? Nabi Muhammad telah mengingatkan bahawa apabila orang melakukan zina di merata-rata tempat, ia menunjukkan dunia berada di penghujung usia. Hari ini zina berlaku di tepi jalan, di dalam kereta, di atas motor, di tepi pantai, di tepi air terjun, di dalam filem, secara bersembunyi, secara terang-terangan, di mana-mana... tidak mengira tempat, masa dan usia. Satu lagi kebimbangan kita ialah azab Allah boleh datang secara tiba-tiba. Kita takut kerana kerosakan masyarakat kita sudah melata, sedangkan usaha amar makruf nahi mungkar kita tidak sekuat mana. “Ya Allah, ampunilah kami. Janganlah Engkau uji kami dengan azab yang tidak mampu kami tanggung. Kurniakanlah kami hidayah dan kekuatan untuk mematuhi perintah-Mu, dan berkatilah bumi ini.”
Tuesday, February 14, 2012
Terlalu dekatkah kita dengan kiamat?
Semakin hari semakin takut hati ini. Mata bagaikan tidak mahu melihat dan membaca. Tangan bagaikan tidak mahu menyambar akhbar di kedai mamak atau menjejaki portal-portal berita di internet. Mana tidaknya, cerita yang dipaparkan saban hari hampir serupa:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment